Entri ini sebenarnya dah lama diselesaikan tapi entah, malas sangat barangkali.
Entah apalah nasib, saya terpaksa menonton filem Her. Joaquin Phoenix kali ini tidak jadi lelaki keji sebaliknya lelaki yang sunyi, yang kerjanya mengarang surat-surat cinta sambil mengharungi hidup bersendirian.
Saya punya latarbelakang multimedia. IT bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya, begitu juga Artificial Intelligence. Tetapi untuk mencipta sesuatu dengan conscience (kesedaran moral), ia semestinya cukup menggelikan hati.
Manusia sendiri pun tiada conscience, apatah lagi kita berharap benar untuk sebuah mesin tidak bernyawa untuk mempunyai kesedaran sebegitu.
Sekalipun menyumpah sepanjang-panjang filem tersebut, diakui bahawa apa yang cuba disampaikan itu ada asasnya. Adakah kita ini terlalu bergantung pada interaksi dengan teknologi hingga kita semakin menolak hubungan sosial sesama manusia? Adakah kita ini terlalu dahagakan perhatian hingga kita hanya mampu untuk berteman mesin yang mampu berikan kita perhatian bila-bila masa sahaja.
Watak utama yang bergantung sepenuhnya pada Operating System (OS) bernama Samantha sebagai teman, walaupun sedikit menjengkelkan, sebenarnya tidak jauh berbeza daripad kita. Berapa ramai sangat yang mampu untuk duduk sahaja bersama rakan-rakan tanpa perlu memegang telefon, mengabaikan kawan-kawan di depan mata? Sudah hilang kepentingan untuk interaksi secara fizikal hingga kita cuma mampu menangani sesebuah sentuhan hanya daripada sebuah skrin yang mati.
Mungkin benar apa yang cuba disampaikan oleh filem tersebut. Kita ini hatinya sudah mati hingga hanya mampu menangani soal perhubungan yang tidak wujud, contohnya dengan sebuah OS. Apa sudah jadi dengan hubungan sesama manusia? Apa kita sudah menjadi semakin bebal untuk menangani permasalahan biasa di dalam perhubungan.
Mungkin kita ini sudah jadi begini; tidak mampu hidup langsung kalau hilang perhatian seseorang hanya untuk beberapa saat. Ketika kita memerlukan perhatian, kita perlu dan mesti mendapatkan perhatian pada saat itu juga, tidak boleh terlewat sedikit pun.
Tanda matinya logik akal dan perikemanusiaan sebuah hati.
Ia sebuah filem yang saya tidak suka tetapi ia membuka sedikit mata tentang apa yang terjadi hari ini. Menakutkan sebenarnya.
Hari pun sudah menginjak petang. Elok kalau saya pergi gosok baju. Selamat petang.