Ini cuma cerita klise. Cerita klise Sheila yang terpaksa kerja malam untuk menghabiskan baki kerja yang tidak dapat disiapkan siang tadi.
Apalah yang mampu dikatakan.
Tangan Sheila mencapai telefon bimbit yang diletakkan di sebelah buku nota di atas meja. Buku nota itu pemberian Zulhilmi, kekasih hatinya. Kekasih hatinya dikenali dari waktu belajar lagi. Sheila hanya menunggu masa. Kalau Zulhilmi masih belum mahu meminangnya, dia nekad untuk menyambut pinangan Encik Azmi, duda anak tiga, disyaki memakai gigi palsu.
Namun, ini bukan cerita tentang semua itu. Ini cerita Sheila yang sakit perut pada jam 2.30 pagi di pejabat (berdasarkan pada jam yang sempat dilihat oleh Sheila sebelum beliau berjalan ke arah tandas sambil memegang perut.
' Adui...' Sheila mengaduh sambil berjalan melepasi bilik rehat. Zairi, rakannya berada di bilik tersebut sambil membelek majalah. Mengular!
' Perut secondhand betul kau ni Sheila. Baru kari nasi kandar,' Zairi menegur dengan yakin. Zairi bukannya ahli nujum, apatah lagi seorang bomoh sehingga tahu ke mana Sheila ingin pergi. Beliau cuma meneka berdasarkan bahasa tubuh badan Sheila yang sedang membongkok, tangan di perut, dan muka berkerut.
Sheila hanya mengacu jari tengah ke arah Zairi. Pantas sahaja Zairi menjengukkan kepala keluar dari bilik rehat untuk mentertawakan Sheila.
Beliau tersilap langkah. Sheila baru sahaja melepaskan sisa angin di dalam badan beserta bau yang sedikit puaka. Zairi hampir rebah ke bumi.
Dalam kesakitan, Sheila sempat menoleh untuk mentertawakan Zairi tetapi sedikit sahaja. Beliau tidak mahu mengambil risiko melepaskan pepejal pula.
Sampai sahaja di tandas, Sheila tekan suis lampu dgn tergopoh-gapah. Entah siapalah yang begitu cintakan alam sehingga di tutup semua lampu tandas di tingkat ini. Masih dengan kepayahan, Sheila melangkah ke arah kubikel tengah, tandas kegemarannya. Bukanlah itu bermaksud ada bau istimewa di tandas itu hingga menjadi kegemaran Sheila. Beliau cuma lebih suka untuk ke kubikel yang tengah jika ada tiga kubikel di dalam satu tandas.
Sudah sampai destinasi. Sheila lega. Satu, kerana, ya..sudah sampai destinasi. Dua, kerana tiada siapa di kiri kanannya. Beliau bebas untuk berbuat sesuka perutnya.
Namun, Sheila terlupa bahawa sememangnya tandas di tingkat ini dielakkan oleh hampir semua orang selepas jam 12 tengah malam. Sheila juga terlupa yang semua pekerja wanita sudah diingatkan untuk mengajak teman ke tandas ini kalau terpaksa juga melawatnya selepas jam 12 tengah malam.
Sheila betul-betul terlupa sehinggalah beliau terdengar suara wanita sedang tertawa kecil, seperti ditahan-tahan. Itupun, dia tidak akan perasan tentang suara itu jika tidak disebabkan bau bunga melur yang menerpa (Sheila pasti ini bukan baru haruman di pejabat). Dan Sheila seperti ingin pengsan bila melihat jari-jemari menggenggam bahagian bawah pintu kubikel. Kuku hitam legam seperti dicat pewarna hitam. Cebisan daging pula jatuh ke lantai dengan bau bunga bertukar busuk.
' Heee...heee..'
Sekali lagi, Sheila terlupa bila dia pengsan. Dia juga tidak ingat samada dia sudah membersihkan diri atau belum.
No comments:
Post a Comment