Tuesday, October 3, 2017

Cerita Seram: Siapa Mengira di Tandas?

' Menyesal tak pergi toilet tadi...' Ayu memegang perut sambil berpusing ke arah dinding.

Katil Ayu berada di hujung dorm, katil terakhir. Selepas prep tadi, dia makan kacang gajus di depan pintu bersama rakan-rakan. Asyik betul rasanya berbual sambil mengunyah gajus hingga Ayu terlupa dia memang tidak boleh makan gajus terlalu banyak.

Maka terbaringlah Ayu di atas katil, menahan kepedihan. Separuh daripada dirinya mahu bangun tetapi separuh lagi terasa malas. Bukan hanya malas, takut pun ada juga.

Perut Ayu semakin sakit.

' Siapa suruh minum susu pulak tadi...', Ayu separuh merintih.

Teringat Ayu akan perbualan yang didengar tempoh hari.

' Ada..benda tu suka mengira bila kita masuk tandas,' seorang pelakar bercerita. Waktu itu, mereka semua sedang di dewan makan, beratur menanti giliran masing-masing.

' Mengira?' teman pelajar tersebut tertawa. Agak kuat. ' Dia suka matematik ke?' Pelajar tersebut masih tertawa.

' Eh jangan gelak ye? Kena dekat kau nanti...' giliran Ayu sudah sampai waktu itu.

Dan semestinya kenangan-kenangan yang tidak begitu menggembirakan akan diimbas semula sekarang, pada waktu semua orang di dalam dormitorinya sudah tidur.

Ayu memandang ke arah katil Ifa, satu-satunya pelajar Tingkatan 1 di dalam dormitori yang sepatutnya dikhaskan untuk pelajar Tingkatan 4. Entah ilmu apalah yang dipakai oleh Ifa hingga dia berjaya menyertai dormitori sama dengan Ayu, di tingkat 2. Namun, bukan itu yang menjadi isu penting di sini.

Seketika itu pula, Ayu teringat bahawa Ifa tiada di sekolah pada minggu ini. Keluarga Ifa baru sahaja menjemput gadis kecil itu pulang ke rumah. Selalunya, Ifa yang menemankan Ayu untuk ke tandas selepas tengah malam. Ayu juga akan melakukan perkara yang sama.

Siapa pula yang mahu menemankan Ayu malam ini?

Tidak tahan lagi, Ayu duduk di tepi katil dan cuba mengejutkan Pa'e di sebelah.

' Pa'e!' Ayu cuba mengejutkan temannya itu walaupun Ayu sedar, kebarangkalian untuk Pa'e bangun adalah sangat tipis. Memang umum mengetahui bahawa Pa'e memang liat untuk dikejutkan. Ini termasuk bangun pagi.

Tidak tahan lagi, Ayu terpaksa ke tandas seharian, hampir berlari. Ini situasi kecemasan.

' Lantaklah...'

Ayu sampai ke tandas dengan selamat. Tiada apa yang terlepas atau terjatuh, termasuk Ayu sendiri.

Malangnya...ianya tidak semudah mana. Ayu tahu, ini memerlukan sedikit masa.

Sedang Ayu sibuk, terdengar bunyi pintu tandas terbuka. Ayu biarkan sahaja, yang penting adalah urusannya akan selesai.

' Satu ... dua ...he heee!'

Ayu terdiam. Ini sekolah menengah. Kenapa suara yang didengari adalah suara kanak-kanak lelaki?

' Satu...,' suara budak lelaki kedengaran lagi, disertai dengan bunyi pintu ditolak.

' Dua..he heee,' Ayu semakin berpeluh. Inikah cerita tentang 'benda' yang diceritakan oleh pelajar-pelajar tempohari?

' Tiga...,' sebuah lagi pintu ditolak. Ayu berada di tandas keempat.

Suara budak lelaki ketawa bergema. Mungkin ia kedengaran comel tetapi tidak pada waktu sekarang, jam 2 pagi dan di asrama perempuan.

' Empat...he heee,' Ayu menanti untuk pintu tandasnya ditolak. Dbar jantung Ayu semakin kuat.

Namun, pintu tandas tidak ditolak. Sebaliknya, Ayu terdengar bunyi air menitik.
Ayu semakin berdebar. Naluri ingin tahu Ayu mengatasi segalanya. Daripada tidak mahu memandang ke arah pintu, mata Ayu kini terpaku ke arah pintu.

Perlahan-lahan, kelihatan sepasang kasut di depan tandas Ayu. Kasut tersebut basah dengan darah di tepi bahagian kasut tersebut.

Darah?

Dan suara yang tadinya tertawa bertukar menjadi sedih dan kemudian tersenar tangisan.

Ayu? Ayu juga hampir menangis.

No comments:

Post a Comment